Search

Pura-pura jadi pelanggan sebelum larikan barang kemas RM8,500

June 21, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan dua utas rantai dan loket emas yang dianggarkan bernilai RM8,500 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Jalan Dunlop, di sini, hari ini.

Kejadian jam 12.19 tengah hari itu dirakam kamera liter tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan suspek yang memakai pelitup muka tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApps.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh berkata, maklumat kejadian berkenaan diterima daripada pengadu iaitu seorang lelaki tempatan yang berusia 68 tahun.

Katanya, siasatan mendapati kedai emas itu dibuka pada jam 9 pagi dan hanya pengadu bersama isteri dan seorang pekerja yang menjaga kedai emas berkenaan.

“Ketika itu, datang seorang lelaki (suspek) yang tidak dikenali dengan memakai pelitup muka. Suspek terus menuju ke ruangan sebelah kiri dan bertanya kepada pekerja untuk melihat rantai dan loket emas.

“Suspek juga bertanya jika boleh membuat pembayaran dengan menggunakan kad ATM. Namun pekerja memaklumkan hanya pembayaran dengan tunai atau dengan pemindahan dalam talian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas dijelaskan oleh pengadu harga dan cara bayaran, suspek kemudian mahu melihat seutas lagi rantai leher.

“Pekerja itu kemudian ambil dan memberikan kepada suspek. Dalam masa yang sama suspek tidak memulangkan lagi rantai dan loket emas malah selepas itu mendapat seutas lagi rantai leher lalu suspek bertindak melarikan diri.

“Ketika kejadian hanya suspek seorang saja yang berada di dalam kedai,” katanya.

Champin berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati tidak terdapat pengawal keselamatan di premis berkenaan.

“Ruang premis adalah kecil dan terdapat CCTV yang berfungsi. Mengikut keterangan daripada pengadu dan pekerja, mereka tidak pernah melihat suspek itu masuk ke premis sebelum ini.

“Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang berusia lingkungan 30 tahun dan barang yang dicuri,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Info X