Search

Treler terbakar selepas kemalangan tiga kenderaan

June 21, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Sebuah treler musnah terbakar dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ladang Sandau, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.54 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Kenderaan pacuan empat roda yang terbabit kemalangan di Jalan Ladang Sandau, Lahad Datu. – Foto/Bomba

“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu treler dan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Kemalangan itu mengakibatkan treler terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga pemandu berusia 45, 53, dan 66 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi pemadaman dengan satu aliran menggunakan foam sumber air dari jentera.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada 3.22 petang,” katanya. – Info X