Search

Ops bersepadu pantau barang kawalan di pulau, perairan Sandakan

May 25, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Op Bersepadu untuk memantau barangan kawalan di kawasan pulau dan perairan di daerah ini, semalam.

Operasi kira-kira jam 9 pagi itu, membabitkan pemeriksaan di tiga buah pulau iaitu Pulau Pemaguan, Libaran dan Nunuyan Laut.

Ketua KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, operasi berkenaan membabitkan anggotanya dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, operasi itu dilancarkan bagi memastikan barangan terkawal bersubsidi sampai ke kawasan berkenaan dan dijual dengan harga yang ditetapkan.

Selain itu, katanya operasi itu turut memeriksa bot di kawasan perairan pulau berkenaan sekiranya membawa barangan terkawal tanpa kebenaran.

Azdy (tengah) melakukan pemeriksaan ketika melancarkan Op Bersepadu di kawasan pulau dan perairan di Sandakan.

“Pemeriksaan di tiga buah pulau berkenaan memfokuskan kepada ‘post point of sale’ dan bot yang ada di perairan sama ada mereka membawa barang kawalan tanpa lesen atau tidak.

“Kita dapati barangan terkawal dibawa projek barang kawalan memang ada dan mereka mengikut harga yang sudah ditetapkan,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika operasi itu dijalankan, tiada bot yang dikesan membawa barangan terkawal di perairan berhampiran.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa peniaga runcit di kawasan pulau berkenaan dikesan tidak memiliki lesen barang kawalan berjadual seperti minyak masak dan sebagainya.

“Keadaan ini menyebabkan peniaga runcit di pulau berkenaan terpaksa mendapatkan bekalan daripada peruncit di kawasan bandar Sandakan.

“Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa meletakkan harga yang munasabah untuk dijual kepada penduduk kerana terpaksa membeli bekalan daripada sumber yang tidak betul,” katanya.

Azdy berkata, pihaknya akan membantu peruncit di pulau berkenaan untuk memohon lesen barang kawalan berjadual supaya mereka boleh membeli bekalan daripada pemborong sebenar dengan harga subsidi runcit.

“Kita akan teruskan program prihatin Sandakan untuk mendapatkan semua dokumen mereka supaya mudah dibantu memohon lesen secara online.

“Peniaga di kawasan pulau dinasihatkan supaya berjumpa kami di pejabat dan bawa dokumen untuk kita bantu mereka memohon lesen,” katanya. – Info X