KOTA KINABALU: Pelbagai strategi telah dirancang oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mengeluarkan rakyat di negeri ini daripada kemiskinan.
Pembantu Menterinya, Samad Jambri berkata, antara perancangan dibuat termasuk pembinaan lima Pusat Kemahiran Masyarakat sebagai pusat pembangunan dan latihan keusahawanan yang bertujuan membantu meningkatkan potensi kemahiran golongan miskin.
Selain itu, katanya, turut dirancang ialah pembinaan lapan Pusat Keusahawanan Desa (PKD) yang dilengkapi dengan bangunan bengkel serta peralatan mesin yang bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan usahawan bimbingan KPLB bagi meningkatkan pengeluaran produk dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Lain-lain perancangan ialah program keusahawanan berasaskan pertanian dan program penternakan burung walit secara bersasar dan program kursus kemahiran kepada masyarakat luar bandar seperti kursus jahitan, kraftangan, pemprosesan makanan, tenunan dastar, pembuatan kerepek dan lain-lain yang tujuannya diadakan adalah selaras dengan misi kementerian untuk mensejahterakan masyarakat luar bandar.
“Melalui usaha-usaha pembasmian kemiskinan dan melahirkan usahawan yang berjaya ini juga, ia mampu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, pendapatan diri dan keluarga.
“Program Satu Daerah Satu Produk (SDSP) juga merupakan program untuk meningkatkan ekonomi usahawan luar bandar yang dijalankan secara berkelompok atau premis sendiri.
“Program ini telah menggalakkan pengeluaran produk di setiap daerah masing-masing sebagai Flagship produk bagi sesebuah kampung/daerah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Dr Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) yang bertanya kepada Menteri Luar Bandar, apakah strategi kerajaan untuk mengeluarkan rakyat Sabah daripada kepompong kemiskinan.
Samad berkata, Projek MESEJ (Mini Estet Sejahtera) juga adalah antara inisiatif kerajaan Negeri untuk menangani isu kemiskinan di kawasan yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.
Katanya, program ini merupakan pendekatan pembasmian kemiskinan secara holistik meliputi penyediaan perumahan dan komponen ekonomi iaitu perusahaan perladangan dengan tanaman komoditi iaitu kelapa sawit dan getah.
“Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS) adalah berkonsepkan pemberian bantuan rumah yang selesa oleh Kerajaan Negeri kepada golongan penduduk luar bandar yang memerlukan,” katanya lagi. – Info X