PENAMPANG: Empat individu dalam keadaan ‘khayal’ antara pengunjung yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Pintas, di sini, malam tadi.
Keempat-empat mereka berusia lingkungan 19 hingga 29 tahun itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan bermula kira-kira jam 12 tengah malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, dalam operasi itu seramai 21 pengunjung diperiksa terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita.
“Ujian saringan air kencing ke atas semua mereka didapati empat individu positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kempat-empat individu terbabit ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Sammy berkata, Op Pusat hiburan ini adalah rutin pemeriksaan Pihak polis bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Terdahulu, operasi yang berakhir kira-kira 2 pagi dilakukan 11 anggota termasuk seorang pegawai BSJN IPD Penampang. – Info X