Search

Warga emas hilang di Tawau ditemui dalam perut buaya

July 23, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Menyayat hati apabila mayat seorang lelaki warga emas yang hilang disyaki dibaham buaya ketika turun ke botnya di sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita, Tawau, 19 Julai lalu ditemui dalam perut reptilia berkenaan, hari ini.

Mangsa, Addi Bangsa, 60, ditemui di dalam perut seekor buaya oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, pada hari keempat operasi, kira-kira 3 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada JHL mengenai penemuan itu pada jam 7.30 pagi tadi.

Pasukan penyelamat mengeluarkan sebahagian anggota badan dalam perut buaya. – Foto/Bomba

Katanya, pasukan JHL memaklumkan menemui seekor buaya yang dipercayai membaham mangsa dan bertindak menembak mati reptilia berkenaan.

“Pasukan JHL turut bertindak membela perut buaya dan menemui anggota badan manusia dipercayai milik mangsa.

“Seterusnya, pengeceman identiti mangsa oleh ahli keluarganya di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11 pagi.

Anggota bomba bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah membelah perut buaya yang membaham mangsa di Tawau. – Foto/Bomba

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika turun ke botnya di sungai berkenaan pada Rabu lalu, kira-kira jam 4 pagi.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.03 pagi pada Khamis berhubung kejadian berkenaan dan terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pencarian dilakukan di sepanjang muara sungai dengan radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. – Info X