Search

Orang awam kejar suspek, Land Cruiser dicuri dirampas semula

March 9, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Tindakan orang awam mengejar seorang lelaki yang melarikan sebuah kenderaan membawa kepada penahanan suspek serta rampasan semula sebuah Toyota Land Cruiser yang dicuri di hadapan Balai Raya Kampung Sungai Miri, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai melarikan kenderaan milik seorang lelaki berusia 63 tahun sebelum kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik ketika dikejar orang awam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.29 pagi selepas pemilik kenderaan menyedari kenderaannya dicuri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu meninggalkan kenderaan berkenaan di lokasi kejadian sekitar jam 6.30 pagi dalam keadaan tidak berkunci sebelum pergi ke laut untuk menangkap ikan.

“Dua orang awam yang berada berhampiran lokasi kemudian melihat seorang lelaki memasuki kenderaan tersebut dan melarikannya kira-kira jam 8 pagi.

“Mereka bertindak mengejar suspek sehingga kenderaan dipandu suspek terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditahan orang awam di kawasan Labuan International Golf Club sebelum diserahkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.15 pagi.

Menurutnya, kenderaan yang dianggarkan bernilai RM25,000 itu berjaya dirampas semula.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna dan tidak meninggalkan kunci di dalam kenderaan bagi mengelakkan kejadian kecurian. – Info X