KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki cedera dalam kebakaran membabitkan dua buah di Kampung Suang Parai, Jalan Sepanggar, di sini, malam ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 14 tahun itu dihantar ke Hospital Likas menggunakan ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama bantuan BBP Lintas dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu tiba di tempat kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai bomba pada jam 7.26 malam.
Komander Operasi, PBK I Awang Saiful Rahmat berkata, kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan kira-kira 25×30 kaki dan 25×25 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman sejurus tiba di lokasi kejadian.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 7.43 malam dan tindakan pantas anggota bomba turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 29 anggota daripada dua balai iaitu BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dengan kekuatan enam jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), dua Emergency Response Motorcycle (ERMS), sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – Info X