KOTA KINABALU: Seekor kucing dikenali sebagai Tompok yang dipercayai terperangkap hampir dua hari di tingkat tiga bangunan kosong berhampiran Hotel Sheraton, di sini, berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), petang tadi.
Operasi menyelamat terpaksa dilakukan menggunakan tangga kerana tiada laluan untuk naik ke bahagian belakang bangunan berkenaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pengadu memaklumkan terdapat seekor kucing berada di bahagian belakang bangunan kosong di tingkat tiga.
“Dua anggota kemudian memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap termasuk full harness sebelum menaiki bahagian belakang bangunan menggunakan tangga.
“Kucing berkenaan berjaya diselamatkan sebelum diturunkan menggunakan tali dengan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kucing kampung jantan berwarna putih dan hitam itu kemudian diserahkan kepada pengadu.
Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan seorang pegawai dan enam anggota lain-lain pangkat dari APM Kota Kinabalu.
“Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dan semua anggota selamat,” katanya. – Info X