KOTA KINABALU: Kira-kira 10,000 peserta dan orang ramai dijangka membanjiri Padang Merdeka pada Istiadat perbarisan dan perarakan sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, 21 Jun depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata lebih 80 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah bakal menyertai acara itu.
Katanya, ia adalah acara utama daripada tujuh program yang disusun sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tun Musa setelah dilantik sebagai TYT ke-11 berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Penyertaan yang begitu menyeluruh ini melambangkan semangat perpaduan dan patriotisme rakyat Sabah terhadap kepimpinan negeri,” katanya pada sidang media sambitan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tun Musa, di sini, pada Isnin.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Jamili Nais; Setiausaha Sulit TYT, Izharudin Jalaludin; Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor.
Dr Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan, berkata acara lain sempena sambutan itu ialah Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Anak Yatim pada 14 Jun dan Sambutan Hari Etnik Sabah pada 15 Jun, kedua-duanya diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Seterusnya, beliau berkata ialah Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Negeri Sabah, Sembulan, pada 19 Jun.
Katanya, empat lagi acara berlangsung pada 21 Jun iaitu Istiadat Perbarisan dan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenamg Pertanding Kawad di Padang Merdeka; Istiadat Pengurnian Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu serta Majlis Jamuan Negeri di Dewan Bangkuasi, Menara Kinabalu.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, sambutan ulang tahun rasmi itu adalah acara tahunan negeri yang bukan saja bertujuan memberi penghormatan kepada TYT, malah mencerminkan kesatuan serta semangat cintakan negeri dalam kalangan rakyat.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk, saya amat berbangga dengan komitmen semua pihak yang terbabit dalam menjayakan sambutan ini. Kita mahu acara ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh rakyat Sabah untuk hadir beramai-ramai ke Padang Merdeka pada 21 Jun ini bagi menyaksikan sendiri acara utama sambutan yang akan bermula seawal jam 6 pagi.
“Saya menyeru semua rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan itu sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang kepada pemimpin tertinggi negeri kita,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat agar sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan TYT, Yang Berbahagia Toh Puan dan keluarga agar sentiasa dilindungi dan diberkati.
“Kepimpinan TYT yang berwibawa, prihatin dan bersifat menyeluruh dalam menjaga kebajikan rakyat wajar dijadikan teladan oleh semua,” katanya. – Info X