KOTA KINABALU: Belum ada agihan kerusi dibuat dalam kalangan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) setakat ini.
Menyatakan perkara itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata walaupun setiap parti ada permintaan dan berbincang mengenai kerusi yang dikehendaki, tumpuan utama adalah kemenangan GRS.
Jelasnya, setiap kerusi yang ditandingi gabungan itu akan membawa lambang yang sama, tanpa ada perbezaan dari segi calon atau parti yang mewakili mana-mana kerusi.
“Memang selalu kita minta dan kita bincangkan tetapi apa yang penting ialah untuk menentukan kerusi di mana kita boleh menang, kerusi yang GRS mesti menang.
“Jangan kita bercakap mengenai soal parti secara individu dulu, kita utamakan GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sini, pada Isnin.
Dr Joachim yang juga pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata demikian ketika ditanya jumlah kerusi yang dikehendaki PBS pada PRN17 nanti.
Sementara itu, mengulas kerjasama GRS dengan parti lain, Dr Joachim berkata gabungan parti tempatan itu terbuka untuk bekerjasama, namun GRS mesti mengetuai pakatan.
Bagaimanapun, katanya setakat ini GRS belum ada berbincang dengan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) mengenai soal kerjasama.
“Selagi GRS memiliki majoriti, maka kita akan bekerjasama dengan parti lain, yang penting GRS mesti mendahului kerusi yang ditandingi.
“Bersatu pun boleh datang kerana ini adalah negara demokratik. Tapi kita belum bercakap atau bincang dengan Bersatu, malah dengan BN juga tiada perbincangan khusus, sesiapapun boleh datang,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah membayangkan kemungkinan GRS bertanding 52 kerusi jika ada kerjasama dengan parti nasional yang mana parti terbabit bakal mendapat 21 kerusi. – Info X