Search

Pakaian, barang peribadi arwah Zara tidak diambil polis

August 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mendakwa pihak polis tidak pernah mengambil pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh remaja itu ketika ditemui meninggal dunia di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, pada 16 Julai lalu.

Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam kenyataan bersama hari ini berkata, semua pakaian dan barangan milik Zara telah diserahkan oleh pihak Hospital Queen Elizabeth I kepada ibu mangsa pada hari kejadian dan kini berada dalam jagaan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik keluarga.

“Memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam ucapannya pada pagi tadi bahawa kertas siasatan berkenaan kes kematian Allahyarhamah Zara telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara, kami ingin memaklumkan perkara-perkara berikut berkenaan pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh Zara ketika beliau ditemui di bawah bangunan asrama pada subuh 16 Julai lalu.

“Semua pakaian dan barang tersebut telah diserahkan kepada ibu Zara oleh pihak hospital pada hari yang sama,” katanya.

Jelasnya, semua pakaian dan barang itu kini berada dalam jagaan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai wakil tunggal kepada ibu Zara.

“Sejak 17 Julai sehingga hari ini, pihak polis tidak pernah memohon atau mengambil pakaian dan barang tersebut bagi tujuan siasatan.

“Kamk sangat terkejut dengan perkara di atas kerana sepanjang pengalaman kami melakukan kes-kes perbicaraan jenayah di mahkamah, pihak polis akan merampas semua item yang dipakai oleh seorang mangsa yang disyaki mati akibat apa-apa tindakan jenayah bagi tujuan siasatan,” katanya.

Peguam berkenaan juga menjelaskan, semua pakaian dan barang berkenaan adalah bahan bukti penting yang sewajarnya diperiksa dan dianalisis secara forensik bagi menentukan kematian Zara membabitkan unsur-unsur jenayah atau tidak.

“Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya fokus ke arah mati mengejut atau bunuh diri sahaja; sedangkan ibu Zara telah memfailkan beberapa laporan polis memohon siasatan berkenaan kematian Zara yang mempunyai unsur-unsur jenayah.

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa kertas siasatan yang sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap, tidak menyeluruh dan mempunyai fokus yang sangat kecil.

“Apatah lagi, tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengebumiannya,” katanya.

Dalam masa sama, peguam yang mewakili ibu Zara merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap kes tersebut.

“Kami berharap Perdana Menteri dapat menasihati Peguam Negara agar mengembalikan semula kertas siasatan kepada pihak polis dan bersetuju dengan cadangan kami untuk mengadakan bedah siasat serta inkues segera bagi menentukan punca sebenar kematian Zara dan sekiranya wujud unsur-unsur jenayah dalam kematiannya,” katanya. – Info X