Search

Panik, tamak punca ramai jadi mangsa ‘scammer’

December 28, 2023

Info X Reporters

PUTATAN: Sikap panik dan tamak menjadi punca masih ramai masyarakat terpedaya dengan tipu daya ‘scammer’ walaupun sudah banyak kempen kesedaran dan peringatan disebarkan pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata, disebabkan sikap itu lebih 1,000 kes dilaporkan di Sabah antara Januari hingga November tahun ini dengan anggaran kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Katanya, selain rakyat biasa, mangsa juga terdiri daripada golongan berpangkat tinggi, menunjukkan bahawa sikap orang ramai sendiri sebagai punca utama mereka ditipu scammer.

“Ia tidak memilih siapa mangsa, ada yang berpangkat tinggi dan ada berpangkat rendah. Puncanya ialah rasa panik apabila menerima panggilan dan kedua disebabkan tamak.

“Disebabkan mahu mendapat sesuatu yang lebih, ada yang sanggup melaburkan wang yang banyak kepada scammer sebelum semua wangnya hilang,” katanya kepada pemberita selepas program Perbincangan Townhall dan Karnival Keselamatan Jalan Raya anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Pejabat Parlimen Putatan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya (kiri) menerima cenderamata topi keledar polis trafik daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun selepas melancarkan Karnival Keselamatan Jalan Raya di Putatan.

Selain berkaitan jenayah scammer, perbincangan townhall itu turut menyentuh mengenai isu penyalahgunaan dadah, khususnya yang membabitkan pelajar sekolah.

Terdahulu, ketika sesi perbincangan townhall bersama Shahelmey dan Kasim, Jauteh mendedahkan ramai golongan sudah bekerja tertipu dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Katanya, di Sabah, sebanyak 43 kes dilaporkan pada tahun ini membabitkan kerugian sebanyak RM836,000, berbanding 36 kes pada tahun lalu dengan jumlah kerugian RM904,000.

“Mangsa yang tertipu ini kebanyakannya berduit kerana sudah bekerja, tapi tamak kerana mahu mendapat pendapatan lebih. Apabila ditawar keuntungan lumayan melalui kerja sambilan secara dalam talian mereka mudah terpedaya,” katanya.

Jauteh berkata, berdasarkan laporan kes yang diterima PDRM, kes penipuan atau scammer masih meningkat dan ia dijangka berterusan selagi orang ramai tidak bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan penipuan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

“Sebab itu kita terus melaksanakan program seperti hari ini bagi mengingatkan dan memberi info kepada orang ramai supaya sentiasa bersiap siaga dengan apa juga panggilan yang tidak diketahui pemanggilnya.

“Paling penting ialah kita kena bersedia menghadapi kesan penggunaan teknologi yang semakin canggih yang akan dimanupulasi oleh scammer bagi memperdaya orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Kasim berkata, pelajar universiti juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa scammer, khususnya penipuan tawaran rumah sewa yang tidak wujud.

Katanya, kes seumpama itu pernah berlaku di UMS yang menyebabkan pelajar mengalami kerugian kerana membayar wang pendahuluan tanpa mengetahui bahawa rumah yang ingin disewa itu tidak wujud.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya (tengah) melancarkan Karnival Keselamatan Jalan Raya di Putatan.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan semua agensi berkaitan dalam membendung jenayah scammer dan penyalahgunaan dadah daripada terus berleluasa di negeri ini.

Katanya, semua pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menangani kedua-dua isu itu di Sabah. – Info X