Search

Parkir transit treler kontena elak pengendali meletak treler di tepi jalan

October 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) menyediakan kawasan parkir transit treler kontena untuk kemudahan syarikat perkhidmatan treler kontena yang beroperasi di Pelabuhan Teluk Sepanggar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata kawasan parkir transit itu sudah dibuka dan boleh digunakan sebagai langkah memastikan pengendali treler kontena tidak lagi meletakkan kenderaan berat mereka di tepi jalan.

“Kawasan parkir transit treler ini sudah dibuka dan mulai digunakan oleh syarikat perkhidmatan treler kontena.

“Justeru, saya menjemput semua syarikat perkhidmatan treler kontena menggunakan kawasan ini, bukan lagi meletakkan treler mereka di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, penyediaan parkir transit kontena itu adalah antara 10 Pelan Tindakan yang dipantau sebuah Task Force yang dipengerusikannya.

Beliau berkata, Task Force terbabit dianggotai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta persatuan mewakili pengguna pelabuhan dan syarikat konsesi serta operator pelabuhan.

“Task Force itu memantau penyelarasan pelaksanaan 10 Pelan Tindakan Sementara bagi menangani isu kesesakan akibat keterbatasan kawasan penyimpanan kontena sedia ada (projek pembesaran pelabuhan dengan EOT semasa sehingga Oktober 2027),” katanya.

Beliau berkata, 10 Pelan Tindakan itu yang dipersetuju Kabinet negeri turut merangkumi penyelarasan pelaksanaan waktu kerja 24 jam oleh agensi-agensi kerajaan yang tervabit dalam proses ‘clearance’ kontena.

Pada ketika ini, katanya pelaksanaan waktu operasi 24 jam dilaksanakan mengikut waktu kerja lebih masa (OT) oleh agensi-agensi Kerajaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengikut permohonan pengguna pelabuhan.

“Bagaimanapun, permohonan mewartakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar bagi operasi 24 jam oleh Kerajaan Sabah masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, katanya kemalangan membabitkan kehilangan nyawa akibat pemunggahan kontena di Jalan Pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini turut dibincangkan pada mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu lalu.

“Susulan ini, saya akan memanggil perbincangan khas melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memastikan pematuhan ke atas larangan meletakkan lori treler kontena di bahu jalan di KKIP dan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar,” katanya. – Info X