KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan perkembangan di Pulau Balabac, selatan Filipina perlu dipandang serius berikutan kedudukannya yang begitu hampir dengan Sabah.
Ia berkaitan kerjasama ketenteraan Amerika Syarikat – Filipina di kawasan selatan negara jiran itu, termasuk perkembangan di Pulau Balabac yang dibangunkan sebagai tapak ketenteraan Filipina.
Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri itu berkata, rakyat Sabah tidak perlu panik terhadap perkembangan yang berlaku di negara jiran itu.
Katanya, Malaysia sejak sekian lama mengamalkan dasar luar yang bebas dan berkecuali serta mempunyai hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat dan China.
“Hubungan ini perlu terus dipelihara. Kita tidak seharusnya terheret dalam persaingan antara kuasa-kuasa besar.
“Setiap keputusan mesti berpandukan kepentingan Malaysia sendiri, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.
“Apa yang berlaku di Balabac mengingatkan kita bahawa keadaan keselamatan di sekitar Sabah sedang berubah.
“Dengan peningkatan aktiviti ketenteraan begitu hampir dengan perairan kita, kita mesti memastikan pertahanan, pengawasan maritim dan kawalan sempadan Sabah benar-benar mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Sabah tidak seharusnya terperangkap dalam persaingan antara kuasa-kuasa besar serta menyokong usaha memperkukuh keselamatan dan pertahanan Sabah.
“Ini bukan soal politik. Kerajaan Persekutuan mesti memastikan Angkatan Tentera Malaysia, ESSCOM dan agensi keselamatan lain mempunyai aset, teknologi dan sumber yang mencukupi, khususnya di utara dan pantai timur Sabah.
“Pada masa yang sama, Malaysia mesti terus menggunakan saluran diplomasi dengan Filipina, Amerika Syarikat, China dan negara-negara ASEAN. Kita mahu rantau ini kekal aman dan stabil,” katanya.
Beliau mengingatkan, Sabah bersama-sama membentuk Malaysia pada 1963 dan atas sebab itu keselamatan Sabah adalah keselamatan Malaysia, manakala kedaulatannya tidak boleh dikompromi.
“Rakyat Sabah tidak perlu takut, tetapi kita mesti sentiasa berwaspada dan bersedia. Sempadan kita mesti dilindungi, sementara keamanan terus diusahakan melalui diplomasi,” katanya.
Sebelum ini, pandangan sama turut disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang antara lain mahu kerajaan Pusat memandang serius perkembangan di selatan Filipina dan memastikan kedaulatan Sabah terus terpelihara. – Info X