KOTA KINABALU: Agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyampaikan bantuan kepada rakyat digesa supaya sentiasa peka dan teliti bagi memastikan tiada yang tercicir menerima inisiatif yang disediakan.
Pengerusi SMART Sabah, Datuk Mohd Razali Razi, berkata perkara itu penting bagi mengelakkan keciciran penyaluran bantuan selain mempermudah urusan rakyat yang layak memohon.
“Yang perlu kita tekankan ialah kepekaan, sebab kadang-kadang pemohon tidak faham, itu kita kena ambil peranan, agensi-agensi kerajaan kena maklum cara-cara bagaimana mereka boleh dapat dan menikmati bantuan kerajaan ini,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan bantuan kepada 100 usahawan muda di Dewan Farabi Masjid Jamek Likas sempena Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan Usahawan Muda Sabah Tahun 2025, pada Isnin.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan Dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim dan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.
Ketika ditanya mengenai rungutan rakyat terhadap permohonan bantuan yang kurang jelas, Razali berkata, perkara itu perlu diselesaikan dengan meneliti permasalahan antara kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan pemohon.
“Kadang-kadang kita kena lihat juga masalah daripada penerima dan mungkin daripada kerajaan. Tapi ringkasnya, setiap daripada apa yang kita lakukan, ia tertakluk kepada peraturan dan syarat.
“Jadi, kalau peraturan dan syarat itu ada, pemohon layak, saya tidak melihat ia membawa isu atau masalah.
“Mungkin apa yang perlu kita jelaskan di sini ialah, bagaimana kita sampaikan maklumat-maklumat mengenai bantuan ini kepada pemohon,” katanya.
Pada tahun ini kerajaan negeri melaksanakan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memanfaatkan lebih 100,000 golongan miskin menerima bantuan RM300 sebulan selama setahun. – Info X