Search

Pasukan teknikal Sabah Electricity kerja keras pulihkan talian tumbang

September 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan teknikal Sabah Electricity (SE) giat menjalankan kerja membaik pulih tiang menara elektrik yang tumbang di Kampung Sarapung, Penampang.

Bagaimanapun, pasukan itu berdepan cabaran melaksanakan kerja pembaikan disebabkan hujan yang menyebabkan perjalanan berjalan kaki ke lokasi tiang menara menjadi sukar.

Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata keselamatan anggota kerja diberikan keutamaan ketika melaksanakan kerja pembaikan.

“Walaupun berdepan dengan keadaan cuaca buruk dan akses yang terhad, mereka tetap meneruskan kerja siang dan malam untuk memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan dalam tempoh masa yang terdekat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pasukan teknikal SE berusaha membawa peralatan untuk memasang menara kecemasan.

Katanya, pasukan teknikal SE berjuang di lapangan menggunakan segala kepakaran dan peralatan yang ada untuk memulihkan penyaluran bekalan elektrik dengan selamat dan cepat.

Dalam pada itu, katanya SE menzahirkan penghargaan kepada Sabah Air Aviation Sdn Bhd kerana memberikan bantuan helikopter untuk kerja mengangkat peralatan membina tiang Emergency Restoration System (ERS) yang akan dibangunkan sebagai usaha menggantikan tiang menara yang tumbang.

Mohd Yaakob berkata, bantuan menggunakan helikopter untuk mengangkat peralatan dan keperluan mendirikan ERS dijalankan ketika hujan berhenti pagi tadi.

“Kami mohon kerjasama dan kesabaran orang ramai sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan ini dan pasukan teknikal kami akan terus komited memastikan bekalan elektrik kembali stabil demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Helikopter Sabah Air digunakan menghantar peralatan menara ketika cuaca baik.

Pada Sabtu, seluruh kawasan pantai timur terputus bekalan apabila talian 275kV dari Kolopis, Penampang ke Segaliud, Sandakan terpelantik sebelum menara tumbang akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang dikenal pasti sebagai punca.

Setakat hari ini, bekalan elektrik ke pantai timur Sabah ditampung menggunakan 27 genset bergerak yang diletakkan di lokasi strategik di Sandakan, Beluran, Telupid, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Ends