KOTA KINABALU: “Saya hanya mampu lihat rumah bergerak dan runtuh… kayu jatuh menimpa tubuh saya.” Itu detik cemas diceritakan Fazrul Ikwan Abdul Halid, 15, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di kawasan setinggan dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini, pagi tadi.
Kejadian itu meragut ibu bapanya Husaima Sarabani, 50-an, dan Abdul Halid Darak, 50-an dan kakaknya Maslina Abdul Halid, 29.
Turut terkorban empat anak saudaranya iaitu Mohd Noriman Abdullah, 9; Mohd Ilham Abdullah, 2, Siti Khadijah Abdullah, Abdullah dan Mohd Izzan Gandi, 7.
Menceritakan kejadian itu, Fazrul Ikwan berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di bilik bersama dua rakan sebelum rumah mereka tiba-tiba menggelongsor.
“Saya dan kawan terhempap kayu. Beberapa minit kemudian kami berjaya keluar, tapi cedera di kaki dan kepala.
“Kawan saya juga cedera di kaki. Kami terus cari sepupu minta tolong gali tanah kerana keluarga masih tertimbus,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan ibunya ialah sekitar jam 10 malam, ketika wanita itu menasihatinya supaya tidak keluar rumah kerana keadaan banjir.
“Itulah pesanan terakhir arwah ibu. Saya langsung tidak menyangka ia perbualan terakhir saya dengan ibu,” katanya sayu. – Info X