Search

Pati warga China, Mesir dihantar pulang

January 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga China dan seorang warga Mesir dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Semua Pati yang ditahan di Depot Imigresen Papar itu dipindahkan menggunakan pengangkutan udara AirAsia untuk penghantaran pulang ke Guangzhou, China dan Kaherah, Egypt.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan Pati kali ini, semuanya membabitkan lelaki dewasa.

“Pemindahan tahanan Pati warga China atas program pembiayaan sendiri dilaksanakan daripada Depot Imigresen Papar, melalui KKIA menggunakan pengangkutan udara China Southern Airlines untuk dihantar ke Guangzhou, China.

Tahanan Warga China yang dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Manakala seorang tahanan warga Mesir pula melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Kaherah, Egypt,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan Pati oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan hubungan kerjasama daripada pihak Kedutaan Asing di Malaysia.

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen di Sabah bagi memendekkan tempoh penahanan tahanan.

Warga Mesir dihantar pulang ke negara asal menggunakan pengangkutan udara.

“Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Ia juga termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata JIM Sabah menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pati di negara ini,” katanya. – Info X