KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 30 Januari ini.
Sambutan yang dijangka dihadiri kira-kira 20,000 tetamu itu juga dijadual dihadiri Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menjadikannya acara rasmi pertama dihadiri beliau selepas mengangkat sumpah jawatan pada 1 Januari lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, selaku pengerusi penganjur sambutan itu, berkata rumah terbuka pada hari kedua Tahun Baharu Cina 2025 itu akan bermula pada jam 10 pagi hingga 2.30 petang.
Katanya, program itu dihoskan kerajaan negeri dan dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, manakala Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sebagai penganjur.
“Rumah terbuka itu nanti akan menampilkan acara menarik seperti persembahan kebudayaan Cina oleh kumpulan sekolah termasuk tarian tradisional dari Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, persembahan gendang 24 musim dari Kian Kok dan orkestra dari Tshung Tsin.
“Persembahan lain yang turut memeriahkan sambutan antaranya Wushu, Bian Lian dan Diabolo serta persembahan artis tempatan seperti Wesley Liew, Jaclyn Chia, Isaac Voo Megan dan Esther Applunius,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media, di sini pada Khamis.
Christina berkata pameran mengenai etnik Cina turut diadakan sempena sambutan itu, manakala tetamu turut berpeluang mendapatkan barangan HelloSabah melalui undian gerai hotel terbaik.
Katanya, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan bas percuma untuk ke SICC yang disediakan dari pusat beli belah Imago dan Suria Sabah, selain di Stadium Likas dan KPD.
“Grab juga akan menyediakan kod promosi RM5 untuk acara itu,” katanya. – Info X