KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menganggap, hasrat disuarakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk dua parti berkenaan bergabung hanyalah sekadar cadangan.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam menerima baik hasrat itu namun menjelaskan tiada sebarang perbincangan mengenainya, setakat ini.
“Setakat ini tiada perbincangan rasmi di antara kedua-dua pihak bagi tujuan itu (bergabung).
“Cerita bergabung ini adalah bersifat ‘premature to discuss’ (pramatang untuk dibincang) disebabkan tidak ada atau belum ada jawatankuasa rasmi yang dibentuk untuk membincangkan perkara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Joachim yang juga Pengerusi Task Force PBS berkata, PBS ketika ini sememangnya sudah bekerjasama sebagai komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kerjasama ini akan diteruskan dan diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17,” katanya.
Beliau memberi respons kepada kenyataan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, baru-baru ini, yang mengatakan STAR bersedia bergabung dengan PBS bagi mengukuhkan parti pelbagai kaum berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM) sebelum Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dua tahun lagi.
“PBS sudah bertapak di negeri ini sejak 38 tahun yang lalu. Perihal bergabung ini, perlu mendapat persetujuan semua ahli PBS melalui Persidangan Tahunan (kongres),” tegas Joachim. – Info X