KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk membina sebuah Pusat Latihan Polis (PULAPOL) moden bagi menggantikan pusat sedia ada di Kota Kinabalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, PULAPOL baharu yang dicadang dibina di Tuaran itu bakal dilengkapi keperluan latihan kepolisan serba lengkap bagi melahirkan pelatih polis yang cemerlang.
Katanya, setakat ini PULAPOL Kota Kinabalu sudah melahirkan lebih 7,000 anggota polis menerusi 68 siri keluaran sejak ditubuhkan pada 1994.
“Jika kita lihat kepada jumlah anggota yang dikeluarkan di PULAPOL Kota Kinabalu, penerimaan pelatih untuk pegawai pangkat rendah serta kualiti yang ada di sini sama seperti pusat latihan lain yang ada dalam negara.
“Kita tidak menghadapi sebarang isu dalam memberikan latihan, bagaimanapun, PULAPOL Kota Kinabalu masih berdepan kekurangan fasiliti dan kemudahan terutamanya dari segi latihan di air.
“Oleh itu, PDRM dalam rancangan jangka panjang akan memindahkan PULAPOL Kota Kinabalu ke satu kawasan di Tuaran yang mana tapak bagi pembinaannya sudah dikenal pasti dan kita hanya menunggu bajet dari kerajaan bagi merealisasikan rancangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Bil 68 Siri 3/2024 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Bercakap lanjut, beliau berkata, pusat latihan moden itu akan meningkatkan lagi pembelajaran di PULAPOL yang meliputi aspek latihan dari segi akademik mahupun praktikal.
Sementara itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelatih yang berjaya menamatkan latihan dan mengalu-alukan kesemua anggota terbabit ke dunia kepolisan yang penuh cabaran.
Katanya, program latihan PLAK selama enam bulan itu berjaya mencapai objektif, yang mana pelatih memperolehi pengetahuan asas undang-undang dan prosedur kerja serta kaedah dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Program ini juga membentuk jati diri untuk menjadi anggota polis yang berdisiplin, tegas, adil dan berintegriti bagi meningkatkan imej pasukan serta melahirkan anggota polis yang kompeten bagi melaksanakan pelbagai tugas kepolisan dalam menghadapi cabaran dan tuntutan semasa.
“Saya menyeru kepada semua pelatih supaya terus berusaha bagi memantapkan pengetahuan ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkasakan kebolehan ketika bekerja kelak.
“Sekiranya sikap ini dilaksanakan, ditambah dengan sikap yang positif, maka pelaksanaan tugasan kepolisan akan lebih efektif.
“Justeru, keamanan negara dapat dicapai, malah ganjaran yang menanti adalah kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya,” katanya.
Beliau berkata, pelatih yang berjaya menamatkan latihan adalah pelatih terpilih dan terbaik daripada ribuan permohonan yang diterima untuk menyertai PDRM.
“Kejayaan pelatih pada hari ini membuktikan bahawa pemilihan pengambilan pelatih adalah keputusan yang tepat dan pelatih juga perlu sedar bahawa tugas di bidang kepolisan memerlukan pengorbanan, keikhlasan
dan tanggungjawab yang tinggi kepada negara dan masyarakat.
“Jangan sesekali menganggap kehadiran pelatih hanya sekadar mengisi kekosongan jawatan yang sedia ada, sebaliknya penuhilah harapan pucuk pimpinan untuk memantapkan lagi imej pasukan,” katanya.
Beliau juga menasihatkan agar pelatih memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada semua pemegang taruh walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sentiasa mengambil tindakan berlandaskan undang-undang, arahan dan peraturan yang ditetapkan pucuk pimpinan PDRM.
“Jadikanlah ilmu pengetahuan yang diperoleh dari pusat latihan ini sebagai pedoman bagi penugasan di lapangan kelak dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat bersesuaian dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.
PLAK Konstabel bermula 10 Mac lalu dan tamat secara rasminya pada 6 September dengan disertai 243 orang pelatih.
Sepanjang tempoh latihan, pelatih didedahkan dengan pembelajaran berkaitan undang- undang, berkawad, penggunaan senjata api, seni mempertahankan diri, t-baton, ilmu asas keagamaan, asas komputer dan beberapa ilmu asas kepolisan yang lain. – Info X