Search

PDRM tumpaskan kegiatan sabung ayam, rampasan bernilai RM3.28 juta

July 20, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan kegiatan perjudian sabung ayam baka Filipina selepas menyerbu dua lokasi penyimpanan ayam sabung di daerah ini, kelmarin dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.28 juta.

Serbuan dijalankan jam 2.30 petang menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNDKA) Bukit Aman.

Operasi itu turut membabitkan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, BN 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau serta pasukan pegawai penguat kuasa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Tawau.

Pengarah JKNDKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim menerusi kenyataan media hari ini berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Apas Parit, Jalan Apas Parit, kira-kira jam 2.30 petang.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan empat lelaki, masing-masing dua warga Indonesia dan dua warga Filipina, berusia 31 hingga 52 tahun.

“Turut ditemui 470 ekor ayam sabung baka dipercayai dari Filipina, 40 bilah pisau taji ayam, 180 bekas vitamin serta 500 unit sangkar khas sabung,” katanya.

Menurutnya, serbuan kedua di Kampung Membalua, Off Jalan Apas pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun bersama 152 ekor ayam sabung hidup disyaki turut dibawa masuk dari luar negara.

Azmi berkata, semua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana memiliki haiwan tanpa lesen; manakala warga asing terbabit turut berdepan tindakan mengikut beberapa seksyen di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta bekerja secara haram.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki bilah pisau tajam dipercayai digunakan untuk sabung ayam.

“Operasi ini dilancarkan bagi membanteras sebarang kegiatan yang melibatkan perjudian sabung ayam di sekitar negeri ini,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan iaitu Op Taring Palma (Crude Palm Oil) pada 15 Julai lalu, beliau berkata, empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 31 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menyimpan dan memindahkan minyak sawit tanpa lesen sah di Lahad Datu.

Katanya, serbuan yang dilakukan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sebuah stor tersorok dalam ladang kelapa sawit itu menemukan pelbagai peralatan pemindahan dan simpanan, termasuk sebuah kepala lori tangki berisi 30,000 liter CPO, dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM645,890.00.

“Kegiatan penyeludupan CPO secara haram memberi impak besar terhadap hasil negara dan industri sawit tempatan kerana mengakibatkan ketirisan hasil cukai serta menjejaskan reputasi sektor minyak sawit negara.

“Sepanjang 1 Januari hingga 15 Julai 2025, sebanyak 173 serbuan dilaksanakan WCB/PSK di seluruh negara dan 306 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan hidupan liar, barangan kawalan, senjata tiruan dan bahan buangan e-waste.

“Jumlah keseluruhan rampasan mencecah lebih RM544 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM memberi jaminan akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.

“Orang awam digalakkan memberi maklumat kepada PDRM untuk membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya. – Info X