TAWAU: Seorang lelaki mengamuk sehingga sanggup bertindak mengugut ahli keluarganya sendiri dalam kejadian di Kalabakan, di sini, petang semalam.
Lebih melampau, suspek berusia 45 tahun itu turut tergamak mengancam mahu membunuh ibu bapanya sendiri, dipercayai tanpa sebab yang jelas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan selepas menerima maklumat awam.
“Ketika pasukan serbuan tiba di lokasi, suspek berada dalam keadaan agresif di luar rumah.
“Suspek didakwa mengugut mahu membunuh ibu bapa serta ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Polis memandang serius kes keganasan dalam keluarga dan menyeru orang ramai untuk tampil membuat laporan sekiranya berlaku insiden seumpama itu,” katanya. – Info X