KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari akan mempertahankan kerusi DUN Petagas yang disandangnya sejak 2020 itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru itu ketika ditanya mengenai hala tujunya pada PRN17, sama ada kekal di Petagas atau berpindah ke Tanjung Aru.
Katanya, beliau yakin akan mempertahankan kerusi DUN Petagas selepas beberapa kali berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai perkara itu.
Beliau berkata, walaupun ada pihak lain turut menyatakan mahu bertanding di kerusi berkenaan, perkara itu tidak merunsingkannya kerana berkeyakinan dirinya akan dicalonkan semula.
“Pada saya selaku wakil rakyat DUN Petagas dan sayapun telah jumpa dengan Ketua Menteri, yang terakhir pada 7 dan 8 hari bulan ini sewaktu persidangan DUN, saya yakinlah bahawa saya yang akan dicalonkan untuk DUN Petagas.
“Banyak juga komen daripada rakyat dari kawasan bertanya kerana ada juga pihak-pihak yang mempunyai minat atau kepentingan di kawasan DUN Petagas ini yang menyatakan mereka juga akan bertanding.
“Ada menyatakan bertanding sebagai calon GRS, ada mengatakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) atau PKR, tapi pada saya ini adalah satu perkembangan yang sihat, baik dan kawasan DUN Petagas ini maknanya terbuka untuk sesiapa sahaja yang berminat.
“Tapi, pada saya soal siapa calon, parti yang mana, saya sudah tidak ada keraguan kerana ini sudah banyak kali disebut, sayapun telah banyak kali juga berjumpa dengan Ketua Menteri, pada saya soal siapa calon itu sudah jelas,” katanya.
Beliau ditemui pada Perlawanan Akhir Pertandingan Bola Sepak Amatur N22 Tanjung Aru 2025 di Sembulan, di sini, malam tadi.
Awang Ahmad Sah memenangi kerusi DUN Petagas atas tiket Parti Warisan pada PRN16, September 2020 sebelum mengumumkan keluar parti pada 27 Februari 2023 dan menyertai Gagasan Rakyat.
Selain itu, beliau juga menolak andaian pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin mengenai kemungkinan bertanding calon bebas jika tidak dicalonkan di kerusi DUN Petagas.
“Ada pula sekarang ini dikhabarkan di kampung-kampung, menyatakan bahawa saya akan bertanding calon bebas kalau saya bukan calon. Bagi saya ini semua andaian-andaian yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tertentu, saya tidak pernah berkata bahawa saya akan bertanding sebagai calon bebas,” katanya.
Ditanya halatuju jika tidak dicalonkan di kerusi DUN Petagas, beliau menekankan selaku pemimpin politik dan ahli kepada Gagasan Rakyat, beliau akur terhadap keputusan presiden yang dianggapnya sebagai orang yang dipercayai.
Katanya, apa yang penting ialah orang Sabah tidak boleh lemah dan berpecah, sebaliknya mesti bersatu untuk kepentingan rakyat dan negeri atau ke arah sesuatu yang lebih baik.
“Jadi pada saya tidak ada lagi yang saya mahu fikirkan selain daripada mengerahkan jentera untuk bekerja keras dan memastikan kemenangan di Petagas dan juga DUN Tanjung Aru serta Tanjung Keramat untuk menyumbang tiga kerusi kepada GRS,” katanya.
Beliau juga menyatakan tidak bimbang dan tetap yakin dengan apa yang diperkatakan Ketua Menteri dalam perjumpaan mereka sebelum ini ketika ditanya kemungkinan dipindahkan ke kerusi DUN Tanjung Aru.
“Saya tidak begitu risau, seperti yang saya katakan saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri banyak kali dan ceritanya memang bagus.
“Apapun keputusan yang dibuat kemudiannya mungkin saya akan akur tetapi dalam politik ini yang paling penting ialah kita meletakkan calon yang boleh mengangkat perjuangan kerajaan, mengangkat rakyat ke arah martabat yang lebih baik.
“Kita boleh membantu rakyat, boleh melakukan apa sahaja untuk kepentingan rakyat kerana kita ini adalah negara yang statusnya sedang membangun,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan Gagasan Rakyat dan GRS bagi memastikan tiga kerusi dalam Parlimen Putatan, iaitu DUN Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat menjadi milik gabungan itu pada PRN17 nanti berdasarkan penerimaan rakyat dan program yang giat dijalankan di kawasan itu.
Sebelum memenangi kerusi DUN Petagas pada 2020, Awang Ahmad Sah juga pernah bertanding di kerusi DUN Tanjung Aru pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 atas tiket PKR, namun tewas di tangan Barisan Nasional (BN) yang ketika itu diwakili calon dari Parti Bersatu Sabah (PBS).
Beliau juga pernah bertanding atas tiket Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di kerusi DUN Petagas pada PRU 2013, tapi turut tewas di tangan BN yang ketika itu diwakili calon UMNO, Datuk Yahya Hussin. – Info X