Search

PRN17: PBS mahu tawan semula Api-Api

July 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bertekad menebus semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu berbangkit ketika gesaan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Ketua Penerangan PBS Api-Api, Yee Tsai Yiew, berkata PBS Api-Api kini giat merancang strategi untuk menawan kerusi itu yang sebelum ini pernah menjadi kubu kuat PBS.

Katanya, PBS Api-Api sudah menjalankan kajian dan membuat perancangan strategik untuk mendapatkan formula terbaik bagi mencapai misi berkenaan.

“Kita percaya PBS mempunyai penyokong akar umbi yang kuat di Kota Kinabalu, khususnya di DUN Api-Api.

“Kita akan terus menjadi suara rakyat, membangkitkan keluhan mereka dan fokus kepada isu yang penting bagi akar umbi dan lebih penting mempertahankan hak rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan PBS bagi Bahagian Likas, Luyang dan Api-Api, di Dewan Hakka, di sini, pada Ahad.

Mesyuarat itu dirasmikan Ketua PBS Labuan, Datuk Peter Mak.

Kerusi DUN Api-Api dikuasai PBS sejak 1985 sebelum jatuh ke tangan PKR pada 2013.

Tsai Yiew turut menekankan pencapaian pemimpin senior PBS yang meletakkan asas kukuh menerusi sumbangan jangka panjang mereka sebelum ini terhadap pembangunan bandar dan kebajikan awam di Kota Kinabalu yang meninggalkan legasi berpanjangan dalam kalangan rakyat.

Mengenai persiapan menghadapi PRN17, beliau berkata PBS Api-Api melancarkan pelbagai program akar umbi, termasuk mewujudkan pejabatnya di Bandaran Berjaya, di sini.

Pejabat itu, katanya dijadikan Pusat Perkhidmatan Komuniti bagi membantu warga bandar raya yang memerlukan bantuan atau menyuarakan masalah mereka.

“Ini adalah langkah penting bagi mengukuhkan hubungan kita dengan komuniti. Kita mesti memastikan rakyat tahu bahawa PBS sentiasa ada di samping mereka,” katanya.

Selain perkhidmatan kebajikan, katanya PBS Api-Api turut menumpukan pembangunan bakat, merancang pelbagai latihan kepemimpinan dan kursus pengukuhan kemahiran untuk ahlinya dan belia.

Katanya, usaha itu bagi memupuk generasi baharu untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan bakal pengganti politik yang berkebolehan. – Info X