TAWAU: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kebebasan penuh untuk memilih mana-mana calon atau parti politik pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, tanpa sebarang arahan atau tekanan daripada pihak atasan.
Ketua Polis Negara, Datuk Sri Mohd Khalid Ismail menegaskan penekanan beliau terhadap aspek kestabilan politik dan ekonomi dalam ucapan terdahulu bukan bermaksud meminta mana-mana anggota memihak kepada parti tertentu.
“Tidak, kita percaya kestabilan itu penting. Tetapi terpulang kepada pegawai dan anggota untuk memilih.
“Saya percaya mereka bijak menggunakan hak masing-masing. Ia bukan arahan daripada saya atau mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perjumpaan Khas bersama warga PDRM di Tawau, hari ini.
Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 600 pegawai dan anggota dari pelbagai batalion yang terlibat dalam persiapan PRU Sabah.
Menurut Mohd Khalid, setiap anggota polis berhak menggunakan kebebasan memilih walaupun mereka bertugas sepanjang tempoh pilihan raya.
“Ya, kebebasan itu hak masing-masing,” katanya ringkas.
Beliau turut memaklumkan kesiapsiagaan PDRM berada pada tahap sangat memuaskan, termasuk ketika proses penamaan calon di 25 pusat penamaan seluruh Sabah yang berlangsung tanpa insiden luar jangka.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan baik. Penamaan calon pun lancar,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Pengarah Cawangan Khas dan Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun atas komitmen mereka memastikan operasi keselamatan terkawal.
Seramai 9,200 pegawai dan anggota digerakkan di seluruh Sabah, termasuk bantuan kontijen dari Semenanjung, bagi memastikan PRU Sabah berlangsung lancar dan aman.
Dalam aspek keselamatan, Mohd Khalid berkata PDRM telah mengenal pasti 15 kawasan hotspot berdasarkan rekod terdahulu, namun keadaan setakat ini stabil, termasuk di kawasan Sabah Timur.
“Tiada isu besar. Semua penugasan CID, Narkotik dan Cawangan Khas berjalan baik. Individu yang berpotensi menimbulkan masalah juga sudah dikenal pasti,” katanya.
Mengulas dakwaan pengundi hantu, beliau menafikan wujud sebarang maklumat atau laporan polis berkaitan perkara itu.
“Setakat ini, tiada maklumat mengenai pengundi hantu. Tiada laporan diterima. Saya percaya SPR melaksanakan sistem yang utuh dan baik,” katanya.
Mohd Khalid optimis PRU Sabah Ke-17 akan berlangsung dalam keadaan aman sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.
“Rakyat Sabah menunggu pilihan raya ini. Insya-Allah semuanya berjalan baik dan sempurna,” katanya. – Info X