Search

PRU Sabah: Calon PH Silam masih ‘bertanding’, nama kekal dalam kertas undi

November 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan tiada mana-mana calon pilihan raya boleh menarik diri selepas pencalonan diterima pada hari penamaan calon.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam satu kenyataan berkata, perkara itu selaras dengan Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Peraturan itu menyatakan ‘tiada seorang calonpun boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan’.

“Oleh demikian, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Bahagian Plihan Raya Negeri N62 Silam kekal di dalam kertas undi bahagian pilihan raya berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada penarikan diri calon PH, Abd Halim Sidek Gulam Hassan yang sudah diisytiharkan sebagai salah
seorang calon yang bertanding di Bahagian Pilihan Raya Negeri
N62 Silam pada Hari Penamaan Calon Sabtu lalu.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Abd Halim Sidek berkata keputusan menarik diri dibuat setelah mengadakan perbincangan yang teliti bersama pihak kepimpinan teratas PH dan pertimbangan yang mendalam.

“Saya ingin menegaskan bahawa ini adalah keputusan peribadi yang saya buat tanpa sebarang tekanan atau perundingan dengan pihak luar.

“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan pertimbangan yang matang demi menjaga hubungan baik dan keharmonian bersama-sama rakan kerjasama parti yang lain.

“Saya percaya bahawa perpaduan dan kerjasama antara PH dan parti yang lain adalah lebih penting untuk masa depan politik negeri kita,” katanya. – Info X