SANDAKAN: Seorang Pegawai Pasukan Polis Marin (PPM) maut apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Taman Indah Jaya 5, Taman Indah Jaya, Batu 4, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.10 pagi itu, mangsa Inspektor Mohamad Ikhlas Rosmi, 30 yang bertugas di Markas Operasi PPM Sandakan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal pihak mendapati, kereta jenis Mitsubishi Lancer dipandu mangsa dari arah pusat bandar menuju pulang rumahnya di Taman Indah Jaya.

“Bagaimanapun, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam longkang di lokasi kejadian secara tiba-tiba.
“Susulan kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Fuad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan turut berada di lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan. – Info X