Search

Pekerja ladang ditemui rentung dalam kebakaran rumah kongsi

May 15, 2023

admin

TAWAU: Seorang pekerja ladang ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan satu blok rumah kongsi pekerja, di Ladang Brumas, Kalabakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 52 tahun ditemui dalam salah satu bilik rumah kongsi berkenaan dipercayai terperangkap akibat asap tebal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Bombalai, berkenaan kes itu pada jam 1.50 petang.

Mayat mangsa yang rentung ditemui di dalam salah satu bilik di rumah kongsi berkenaan. – Foto Bomba

Katanya, pengadu membuat laporan di Balai Polis Bombalai terlebih dahulu disebabkan tiada liputan rangkaian komunikasi di lokasi kejadian, sebelum dipanjangkan ke BBP Tawau.

“Sebaik kami menerima panggilan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.

“Kebakaran membabitkan satu blok rumah kongsi tujuh pintu jenis tidak kekal yang dihuni oleh pekerja ladang di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa lelaki ditemukan rentung dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Rumah kongsi yang musnah terbakar di Ladang Brumas, Kalabakan, Tawau. – Foto Bomba

Jemishin berkata, pasukannya menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.31 petang.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca serta jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya. – Info X