Search

Pekerja ladang hilang disambar buaya ketika memancing

September 12, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang pekerja ladang hilang dipercayai disambar buaya di Sungai Matamba, Jalan Silabukan, di sini, hari ini.

Mangsa Rusdi Tambah, 45, lelaki warga Indonesia dikatakan sedang memancing di tepi sungai berkenaan sebelum disambar reptilia itu.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.07 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bergerak ke lokasi yang terletak 40 kilometer dari lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Menurut saksi, mangsa pekerja sedang menjalankan aktiviti memancing di tepi sungai telah disambar buaya.

“Pencarian menggunakan bot penyelamat dilakukan di sekitar lokasi mangsa dikatakan disambar buaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X