Search

Pekerja ladang ditemui maut dalam cengkaman mulut buaya

September 12, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seekor buaya yang membaham seorang pekerja ladang di Sungai Matamba, Jalan Silabukan, di sini, pagi tadi, berjaya ditembak mati.

Reptilia itu dikesan di kawasan sungai kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa disambar dengan keadaan mangsa berada dimulut buaya berkenaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.07 pagi tadi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bergerak ke lokasi yang terletak 40 kilometer dari lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa yang dibaham buaya ketika memancing di Sungai Matamba, Jalan Silabukan, Lahad Datu.- Foto/Bomba

“Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah. Setibanya pasukan penyelamat, buaya masih kelihatan di kawasan sungai berkenaan, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa disambar.

“Tindakan JHL Sabah melepaskan lima das tembakan ke arah buaya berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas pihak JHL Sabah mengesahkan buaya itu mati, pasukan bomba turun ke sungai dan mengambil mangsa terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa ditemui selepas dibaham buaya di Sungai Matamba, Jalan Silabukan, Lahad Datu. – Foto/Bomba

“Manakala buaya sepanjang 4.6 meter itu diserahkan kepada JHL untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 1.10 tengah hari.

Terdahulu, mangsa Rusdi Tambah, 45, lelaki warga Indonesia dikatakan sedang memancing di tepi sungai berkenaan sebelum disambar oleh reptilia berkenaan. – Info X