Search

Pekerja restoran maut dirempuh kereta ketika ke surau

April 6, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang maut manakala dua rakannya selamat selepas dirempuh kereta di Jalan Lintas, berhampiran Restoran Maimunah, Cybercity, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, ketiga-tiga mangsa warganegara India terbabit dikatakan sedang berjalan menuju ke Surau Istiqomah, Taman Olivia, untuk menunaikan solat subuh.

Bagaimanapun, ketika cuba melintasi jalan, sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu dalam keadaan lampu tidak menyala terus merempuh mangsa.

Mayat mangsa diangkat ke kenderaan polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang maut bekerja sebagai pembantu restoran berusia 55 tahun.

Katanya, mangsa disahkan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 5.35 pagi.

Kereta Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Seorang mangsa berusia 34 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di zon hijau Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

“Manakala seorang lagi rakan sekerja mangsa berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya mengelak daripada dirempuh kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kereta terbabit dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X