Search

MYAirline tawar penerbangan Kota Kinabalu – Tawau

April 6, 2023

admin

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) kini menyediakan satu lagi penerbangan domestik di Sabah iaitu menghubungkan Kota Kinabalu ke Tawau.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan Rayner Teo berkata, laluan kesembilan syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu negara itu menunjukkan kejayaan perancangan awal dalam mengembangkan rangkaian laluan domestiknya.

Beliau berkata, ia seterusnya membolehkan pelanggan terutama pelancong mempunyai lebih pilihan ke destinasi baharu.

“MYAirline sebelum ini mengendalikan lapan laluan yang merangkumi Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Kota Bahru, Pulau Pinang, Tawau, Sibu dan Miri.

“Seperti yang dirancang, kita membuka laluan kesembilan yang akan mula beroperasi April ini dengan menghubungkan Kota Kinabalu ke Tawau,” katanya semasa sesi bertemu media, di sini, semalam.

Rayner berkata, MYAirline kini juga sedang meneroka laluan sektor domestik yang lain malah pasukannya sedang membuat kajian pasaran terutama untuk Sandakan dan Bintulu.

Katanya, MYAirline juga akan mempertimbangkan untuk tumpuan lebih tinggi bagi laluan Sandakan berikutan sambutan bagi penerbangan ke Sabah amat memberangsangkan dan sejak beroperasi selama empat bulan lalu, laluan domestik ke Sabah mencatatkan pencapaian 96 peratus dengan kebanyakkannya dalam kalangan penumpang tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan rancangan ini akan ditumpukan sepenuhnya selepas syarikatnya memberi tumpuan untuk melancarkan beberapa laluan serantau membabitkan beberapa negara jiran.

“Sebagai permulaan, MYAirline akan menyasarkan laluan antarabangsa ke pasaran serantau termasuk ke Singapura, Indonesia, Thailand, dan Vietnam.

“Laluan ini dirancang membabitkan destinasi yang mempunyai masa penerbangan kurang tempoh empat jam berdasarkan kapasiti pesawat yang digunakan.

“Kita juga sedang berbincang dengan pengawal selia yang berkaitan di negara ini bagi mendapatkan kebenaran penerbangan secepat mungkin,” katanya sambil menambah laluan domestik dan antarabangsa akan terus dipertingkatkan seiring dengan penambahan pesawat MYAirline. – Info X