Search

Maritim Malaysia tahan kapal tangki lakukan kesalahan

April 6, 2023

admin

LABUAN: Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Labuan di sini, semalam atas pelbagal kesalahan.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, turut ditahan kapten bersama tujuh kru berusia 21 hingga 47 tahun.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Mohd Hafiz Abd Mutalib berkata, kapal peronda KM Bistari yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut melakukan pemeriksaan rutin terhadap kapal tangki yang berdaftar di Malaysia.

Kapal tangki yang ditahan kerana melakukan lima kesalahan di Pulau Labuan. – Foto Maritim Malaysia

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas dokumentasi kapal tangki berkenaan, Maritim Malaysia menemui beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Antaranya gagal mempamerkan dokumen insurans kapal, gagal mempamerkan dokumen Part Clearance serta gagal mempamerkan dokumen senarai kru yang sah.

“Ketika diperiksa, kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang kapten kapal bersama tujuh kru terdiri daripada warga tempatan, Filipina, dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati kapten bersama ketua jurutera gagal mempamerkan dokumen kompetensi dan kelayakan yang sah.

“Kapal bersama kapten dan semua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya. – Info X