KOTA KINABALU: Pelabur China dipelawa meneroka peluang pelaburan yang luas di negeri ini, khususnya dalam sektor ekonomi biru, tenaga boleh diperbaharui infrastruktur pintar, inovasi digital dan pelancongan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata galakan kemasukan pelabur ke negeri ini selaras dengan dasar kerajaan yang digariskan dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Berpandukan pelan hala tuju SMJ 2.0, kita komited untuk menjalin pakatan strategik domestik dan antarabangsa bagi memacu agenda pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Konsulat Republik Rakyat China di Kota Kinabalu di Magellan Sutera, di sini, malam Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati meraikan lebih lima dekad persahabatan yang berkekalan serta hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan antara Sabah dengan China.
“Hubungan dua hala kita terus berkembang pesat, berteraskan asas saling menghormati, kepercayaan strategik serta kerjasama ekonomi yang kukuh dan semakin meluas,” katanya.
Hajiji berkata Sabah terus mendapat manfaat daripada hubungan kukuh dengan China yang kekal sebagai rakan utama dalam sektor perdagangan, pelancongan dan infrastruktur negeri.
“Hubungan yang berkembang pesat ini terbukti melalui peningkatan kesalinghubungan serta kerjasama perniagaan yang rancak dan semakin meluas pada hari ini,” katanya.
Ketua Menteri percaya selain manfaat ekonomi, kerjasama yang diperkukuh antara Malaysia dan China serta antara Sabah dan China, akan meningkatkan hubungan sosial dan membina asas kepercayaan yang berkekalan serta kemajuan bersama yang memberi manfaat kepada kedua dua negara dan rakyatnya.
“Semoga Tahun Kuda Api yang melambangkan kekuatan, keyakinan, tenaga dan keazaman ini akan memupuk perkongsian yang lebih erat serta kerjasama yang lebih rapat antara negara kita, sekali gus membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat,” katanya. – Info X