Search

29 PATI warga Filipina ditahan dalam operasi Imigresen di Ranau

March 4, 2026

Info X Reporters

RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, JIM Sabah memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan oleh 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 41 individu dan hasilnya seramai 29 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Daripada jumlah yang ditahan, 11 adalah lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, manakala masing-masing lima kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan.

“Kesemua mereka adalah warganegara Filipina,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah berkata, semua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta berkenaan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, selain Seksyen 36 akta sama.

Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

Agensi itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji warga asing tanpa izin.

Sehubungan itu, orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa dokumen sah di kawasan masing-masing, bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.-Info X