Search

Rumah, kedai runcit musnah dalam kebakaran di Karamunting

March 4, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Tiga rumah dan tiga kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Nenas, Karamunting, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, semua premis jenis tidak kekal berkeluasan keseluruhan 90×150 kaki dilaporkan terbakar 100 peratus.

Ketua Balai BBP Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.01 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi.

Katanya, seramai 12 anggota bersama satu jentera FRT, satu Water Tanker, satu EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.

“Jentera pertama tiba pada jam 3.14 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah serta tiga kedai runcit jenis tidak kekal.

“Api marak dengan cepat dan keseluruhan kawasan terlibat terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi kini tertumpu kepada kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu setakat ini.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X