Search

Abang lemas ketika selamatkan adik selepas bot berlanggar

March 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengorbanan seorang abang berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh susulan pelanggaran bot ketika memancing di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Jeksin Eming, 40, dipercayai bertindak terjun ke laut bagi membantu adiknya, Jaidin Eming, 30, yang terjatuh selepas bot dinaiki mereka dilaporkan berlanggar dengan sebuah lagi bot.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.47 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

Katanya, seramai 10 anggota bersama satu jentera FRT, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat dikerah ke lokasi dan tiba pada jam 9.56 pagi.

“Seorang mangsa berjaya dinaikkan ke bot dan dihantar ke Hospital Likas, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang.

“Seorang lagi mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian dilakukan dalam radius tiga batu nautika dari lokasi kejadian membabitkan kekuatan 25 anggota pelbagai agensi.

“Operasi ditangguhkan pada jam 5.06 petang dan akan disambung semula pagi ini.

“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X