Search

17 pusat hiburan digempur

March 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan terus dilakukan apabila sebanyak 17 premis di seluruh Sabah digempur serentak dalam tempoh lima jam menerusi Operasi Pusat Hiburan Kontinjen Sabah, awal pagi semalam.

Operasi bermula jam 1 pagi hingga 5 pagi itu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terbabit.

Serbuan dan pemeriksaan dijalankan di beberapa daerah termasuk Kudat, Kunak, Kuala Penyu, Tenom, Tambunan, Labuan, Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Penampang dengan fokus memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan turut membabitkan pusat hiburan karaoke (KTV), pub, bar dan lounge yang dikenal pasti berisiko.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah.

“Sepanjang operasi, seramai 128 individu diperiksa membabitkan 85 lelaki dan 43 wanita.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh lelaki positif dadah, manakala 121 lagi negatif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua tujuh individu berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Beliau berkata, tiada rampasan dadah dilakukan sepanjang operasi berkenaan.

“Keseluruhannya, tujuh tangkapan direkodkan membabitkan tujuh kertas siasatan di beberapa daerah termasuk Tenom, Labuan, Sandakan dan Penampang.

“Operasi ini adalah mesej jelas bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pusat hiburan yang cuba menjadi sarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Alhusin berkata, risikan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pusat hiburan di Sabah sentiasa dipantau dan bebas daripada aktiviti dadah.

“Perangi dadah, lindungi generasi. Itu pendirian kami dan usaha ini akan diteruskan tanpa henti.

“Kami juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak berkuasa. Sama – sama kita perangi dadah demi keselamatan dan masa depan negeri ini,” ujarnya. – Info X