Search

Wanita ‘lalok’ tiga jenis dadah, pengurus KTV turut kantoi

March 4, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Dentuman muzik dan lampu neon yang berkelip di sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di daeran ini, awal pagi semalam bertukar sunyi sebaik pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu premis berkenaan dalam Ops Pusat Hiburan.

Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, seorang wanita berusia 23 tahun yang pada awalnya dilihat tenang akhirnya ‘lalok’ selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif tiga jenis dadah serentak iaitu syabu, ketamin dan benzo.

Lebih mengejutkan, pengurus premis lelaki berusia 44 tahun turut ‘kantoi’ apabila didapati positif ketamin.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seramai 16 individu diperiksa dalam serbuan di KTV berkenaan.

“Daripada jumlah itu, dua individu didapati positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing.

“Wanita tempatan positif methamphetamine, ketamin dan benzo, manakala seorang lelaki yang juga pengurus premis positif ketamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita terbabit mengaku minum minuman ‘jus’ dipercayai mengandungi dadah di sebuah premis hiburan sehari sebelum serbuan, manakala pengurus berkenaan mengaku mengambil minuman sama kira-kira tiga hari lalu.

“Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Sementara itu, Alhusin berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis hiburan yang menjadi lokasi penyalahgunaan dadah.

“Tindakan risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan sarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Operasi seumpama ini juga akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai mesej tegas bahawa pusat hiburan bukan tempat berlindung penagih dadah,” katanya. – Info X