Search

Pelajar menuntut di Asia Barat dibawa pulang jika konflik meruncing

April 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan bersedia membawa pulang pelajar yang sedang menuntut di beberapa universiti di Asia Barat jika konflik terbaharu di wilayah berkenaan ketika ini semakin meruncing.

Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata perkara itu dijelaskan pihak Wisma Putra atau Kementerian Luar dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang memantau rapat situasi semasa di Asia Barat, khususnya di Jordan dan Mesir.

Berikutan itu, beliau meminta ibu bapa dan keluarga pelajar dari negeri ini supaya bertenang kerana kerajaan negeri juga sentiasa berhubung dengan Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Baru sebentar tadi (hari ini) saya berhubung dengan Timbalan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin mengenai perkara ini.

“Alhamdulillah menurut beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Wisma Putra sudah bersedia dengan apa-apa keadaan termasuk membawa balik anak-anak kita sekiranya keadaan memerlukan.

“Saya dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan juga sentiasa berhubung dengan wakil Sabah (Pengurus Kanan Pelajar Yayasan Sabah atau Atase Pendidikan Sabah di Timur Tengah) yang menjaga anak-anak Sabah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, Ustaz Sabli Aliju berhubung situasi semasa anak-anak Sabah di tiga negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kerajaan negeri mempunyai pengalaman menyelaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir sebelum ini.

Ketika ini, katanya terdapat 248 anak Sabah yang sedang menuntut di Mesir, manakala 79 pelajar di Jordan dan sembilan orang lagi di Arab Saudi.

“Mereka ini belajar di beberapa buah universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri.

“Antara penaja mereka adalah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, MUIS, dan JPA.

“Sekali lagi saya berharap ibu bapa dan keluarga bertenang. Berdoalah kita moga krisis yang tegang kembali tenang agar anak-anak kita yang berada di luar negara dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka,” katanya.

Beliau turut meminta umat Islam di negeri ini supaya terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang menerima ujian ketika ini.

Krisis terbaharu Asia Barat berlaku apabila Iran melakukan serangan balas ke atas Israel berikutan pencerobohan dan kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin. – Info X