Search

PM sempurnakan Sambutan Aidilfitri Madani Kebangsaan di SICC, Sabtu ini

April 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Sabtu ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), majlis itu dianjurkan bersama oleh KPN dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah.Majlis itu turut dijadual dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron berkata, sambutan Aidilfitri MADANI 2024 adalah platform untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni.

Katanya, melalui tradisi rumah terbuka, sambutan Aidilfitri menjadi perayaan yang menyatukan hati dan merapatkan ikatan masyarakat Malaysia, di mana masyarakat pelbagai latar belakang budaya dan agama berkumpul untuk berkongsi kebahagiaan dan keceriaan.

“Sambutan Aidilfitri yang bertemakan Perpaduan Melalui Perayaan ini menonjolkan keindahan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Sambutan ini wajar dijadikan sebagai alat penyatuan seluruh Bangsa Malaysia serta dijadikan sebagai teras perpaduan yang merupakan kunci utama kepada keharmonian rakyat dan negara.

“Perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya serta kepercayaan agama di Malaysia adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh semua rakyat,” katanya.

Sementara itu, Aaron mengumumkan bahawa majlis rumah terbuka itu menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang akan disambut pada Mei depan.

Jelasnya, pelbagai pengisian menarik turut diadakan sempena Jelajah Kembara Perpaduan @ Sambutan Aidilfitri MADANI seperti Pameran Rumah KAMI merangkumi 12 rumah etnik, pameran alat muzik, tarian dan permainan tradisional serta persembahan artis terkenal tanah air.

“Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara bersama Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Negeri Sabah pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan pada 20 April 2024 ini di SICC, Kota Kinabalu,” katanya. – Info X