KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyuarakan kebimbangannya terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang perlahan, walaupun terdapat jaminan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, walaupun 11 tuntutan dikemukakan Sabah dan Sarawak di bawah rundingan MA63 dilaporkan sudah diselesaikan, namun masih banyak elemen penting belum ditangani.
“Pelaksanaannya amat perlahan. Walaupun Perdana Menteri berjanji untuk bertindak segera, kelewatan yang ketara masih berterusan disebabkan kekurangan kehendak politik dan cabaran struktur dalam kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, walaupun kerajaan persekutuan menjadi punca yang melambatkan pelaksanaan penuh MA63, Jeffrey menekankan bahawa tanggungjawab juga terletak pada pentadbiran negeri yang lalu.
“Apabila merujuk kepada kerajaan negeri, kita merujuk kepada pentadbiran keseluruhan di Sabah sejak pembentukan Malaysia. Pentadbiran lalu, tanpa mengira parti, sering tunduk kepada kepentingan persekutuan,” katanya.
Katanya, beliau masih ingat ketika menjadi wakil rakyat pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kira-kira 10 tahun yang lalu.
Jeffrey berkata, pada masa itu, beliau sering menjadi suara tunggal yang meminta kajian semula persekutuan mengenai MA63 tetapi menghadapi tentangan.
“Tentangan juga datang daripada Ketua Menteri ketika itu, yang menolak permintaan sebegitu dengan kata-kata seperti ‘apa review review?
“Adalah jelas bahawa baik kerajaan persekutuan mahupun negeri tidak bersedia untuk menangani isu-isu ini.
“Walau bagaimanapun, kepimpinan semasa komited secara aktif untuk memajukan MA63.
“Ini bukan menuding jari kepada mana-mana pentadbiran tertentu; ini berkaitan menangani isu lama yang memerlukan usaha bersama,” katanya.
Beliau juga menyuarakan kebimbangannya mengenai pengaruh ‘deep state,’ sambil menyatakan bahawa penjawat awam sering mempunyai kuasa lebih besar daripada menteri, yang terus menghalang pelaksanaan MA63.
Menurut Jeffrey, aspek paling kritikal dalam MA63 adalah hak kewangan yang sepatutnya diterima oleh Sabah.
“Kerajaan persekutuan tidak menunaikan perkongsian hasil 40 peratus yang sepatutnya diberikan kepada Sabah. Mereka tahu angka tersebut tetapi enggan memperuntukkan bahagian yang sepatutnya untuk kita.
“Ada yang berhujah bahawa memulihkan bahagian ini mungkin membebankan kewangan Malaysia, yang memberitahu kita betapa banyaknya hasil yang diperoleh daripada Sabah. Adakah kita menyokong negara ini sedangkan hanya mendapat sisa,” katanya.
Ahli Parlimen Keningau itu menegaskan ada lagi hak kewangan lain yang diabaikan, seperti duti eksport 10 peratus ke atas petroleum dan duti import 10 peratus ke atas produk petroleum.
“Ini adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan, dan mengabaikannya merupakan pelanggaran tanggungjawab perlembagaan kerajaan persekutuan,” katanya.
Jeffrey juga melahirkan kebimbangan mengenai perwakilan Parlimen, di mana Malaya kini memegang lebih daripada dua pertiga kerusi.
“Dominasi ini membolehkan pindaan perlembagaan yang boleh menjejaskan kepentingan Sabah dan Sarawak, walaupun kita membantah dengan kuat. Meningkatkan kerusi Borneo kepada 35 peratus adalah penting untuk menghalang kuasa yang tidak terkawal.
Beliau juga mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Borneo daripada parti yang berpangkalan di Malaya benar-benar boleh memperjuangkan hak Borneo.
“Bolehkah kita yakin mereka akan mempertahankan kepentingan kita dan bukannya mengikut kehendak parti?,” soalnya. – Info X