Search

PRN17: Anak muda mahu lebih ramai calon wakili GRS

September 30, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas menyuarakan harapan agar sekurang-kurangnya 30 peratus wakil anak muda dinamakan sebagai calon parti itu atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Bahagiannya, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata langkah itu bagi memastikan sokongan yang diharapkan daripada pengundi muda, khususnya melalui UNDI 18 selari dengan keputusan parti.

Katanya, tidak salah untuk meminta supaya lebih ranai anak muda dicalonkan pada PRN17, memandangkan golongan berkenaan adalah pelapis pemimpin negeri yang bakal mengambil alih tanggungjawab mentadbir negeri pada masa depan.

“Memandangkan Gagasan Rakyat ataupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini kita nampak memfokuskan ke arah pelapis anak-anak muda, jadi tidak salah untuk kita mengetengahkan agar anak muda diberi peluang bertanding di kawasan tertentu pada PRN17.

“Kerana apa yang penting apabila kita berkata kita perlukan sokongan anak-anak muda, anak muda mesti memberi sokongan tetapi kalau ia tidak diterjemahkan dalam pilihan raya nanti, maka sokongan dan anak muda akan beralih arah.

“Jadi itulah, sekurang-kurangnya kena wujud mungkin 30 peratus atau lebih pengundi muda yang akan bertanding mewakili Gagasan Rakyat atau GRS pada PRN akan datang,” katanya ditemui selepas perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Petagas, di sini, semalam.

Mesyuarat itu dirasmikan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.

Mohd Isquzawan berkata PRN17 penting kerana buat pertama kali pengundi muda berumur 18 tahun mengundi untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah, berbanding bermula pada umur 21 tahun pada PRN sebelum ini.

Katanya, ia menjadikan kumpulan pengundi muda sebagai golongan paling ramai dalam proses pengundian PRN17 untuk memilih wakil rakyat dan membentuk kerajaan baharu.

“Di bahagian Petagas saja hampir 60 peratus adalah pengundi muda, iaitu berumur 18 hingg 40 tahun. Jadi mereka ini perlu kita beri pendedahan kenapa kita kena duduk bersama berganding bahu untuk mengekalkan kedudukan parti tempatan.

“Ia supaya lebih banyak kesatuan, lebih banyak suara kita boleh angkat di federal, lebih banyak perkara yang kita boleh minta, iaitu perkara-perkara yang boleh membantu negeri Sabah.

“Jadi antara fokus kita adalah mendekati anak-anak muda lelaki melalui pelbagai program yang akan dilakukan seperti sukan, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

“Untuk beliawanis pula kita boleh mengadakan program berbentuk pendidikan tinggi kerana antara manifesto Gagasan Rakyat bahagian petagas ini, sekurang-kurangnya setiap rumah mesti ada seorang wakil menyambung pelajaran di IPTA,” katanya.

Ketika ini, katanya pengundi di Petagas dianggarkan lebih 18,000 dengan 60 peratus adalah golongan pengundi muda berumur 18 tahun hingga 40 tahun. – Info X