KOTA KINABALU: Seorang pelancong lelaki warga Korea ditemui mati di dalam bilik hotel di Jalan Coastal, di sini, hari ini.
Mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemui terbaring di lantai biliknya oleh penghuni hotel berkenaan, jam 8.25 pagi.
Menurut sumber, penghuni hotel itu melalui ke biliknya dan melihat mangsa terbaring di lantai bilik hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Ketika itu, pintu mangsa dalam keadaan terbuka dan ianya terbuka sejak semalam.
“Susulan itu, penghuni kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pekerja hotel,” katanya di sini, hari ini.
Sumber berkata, mangsa dipercayai mendaftar masuk ke hotel berkenaan bersendirian para 28 Februari lalu.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 10.15 malam, mangsa dilihat membuka pintu biliknya dan melihat ke arah luar bilik.
“Selepas itu mangsa masuk semula ke dalam bilik tanpa menutup pintu biliknya. Tiada individu lain yang dilihat keluar dan masuk ke dalam bilik mangsa,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan oleh pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian juga tiada kesan pergelutan serta tiada sebarang kecederaan di tubuh mangsa dan tiada barang mangsa yang hilang.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya. – Info X