Search

PDRM pantau rapi aktiviti media sosial kumpulan dikaitkan IS

March 5, 2023

admin

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi sebarang aktiviti media sosial kumpulan di negara ini yang dikaitkan dengan Islamic State (IS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, maklumat diperoleh daripada Nordic Counter Terroism Network dari Finland yang dilapor media mendakwa terdapat aktiviti media sosial oleh kumpulan di Malaysia yang dikaitkan dengan IS.

Katanya, PDRM sejak awal telah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial sebagai usaha mereka meraih sokongon kepada kumpulan yang dikaitkan IS.

“Salah satu langkah PDRM adalah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi-agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian, agar tindakan dapat diambil ke atas pihak-pihak yang dikenal pasti terbabit.

“Dalam usaha ini, kesemua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, orang ramai dinasihat agar tidak gusar dengan laporan media mengenai aktiviti penyebaran propaganda oleh pihak yang menyokong IS.

Katanya, PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara adalah terkawal pada masa sama PDRM juga komited dalam memastikan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam, diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat. – Info X