KOTA KINABALU: Penyudah tumpul sekali lagi menjadi faktor Sabah FC gagal mengutip tiga mata dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Perkara itu diakui pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang berpendapat keadaan mungkin berbeza sekiranya deretan peluang dimiliki diterjemahkan kepada jaringan.
Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, walaupun pemainnya beraksi dengan baik dan dapat menguasai sebahagian perlawanan terutama pada separuh masa kedua, namun bukan mudah untuk menewaskan skuad Hobin Jang Hobin yang memiliki kelebihan.
Dalam aksi berkenaan, Sabah FC bagaimanapun bernasib baik dapat membawa pulang satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan NSFC walaupun sebelum itu mereka lebih dulu dibolosi.
“Menerusi kesungguhan yang ditunjukkan pemain, kita berjaya mencipta banyak peluang jaringan terutama pada separuh masa kedua dan kita layak mendapat tiga mata.
“Tetapi disebabkan penyudah yang sedikit tumpul, menyebabkan banyak peluang gagal diterjemahkan dengan jaringan gol.
“Kita tahu apabila dibolosi, sukar untuk kita dapatkan gol, apa lagi dengan corak persembahan pasukan lawan yang dilihat bertahan dengan baik, tapi dengan kesungguhan tinggi pemain, kita mampu meraih satu mata,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Sabah berjaya bangkit daripada ketinggalan selepas Park Tae-Soo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-75, untuk mengikat kedudukan seri selepas Tommy Mawat Bada terlebih dulu menjaringkan gol Negeri Sembilan pada minit ke-20.
Kim Swee ternyata berpuas hati dengan keputusan itu walaupun hasrat mendapatkan kemenangan tidak kesampaian selepas Sang Badak tewas dalam dua perlawanan terdahulu kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC.
“Bagi saya satu mata amat penting selepas kita tewas dalam dua perlawanan terdahulu, tetapi dengan tindakan Negeri Sembilan menukar corak persembahan kepada bertahan dan melakukan hantaran-hantaran jauh kepada penyerang mereka, menyukarkan sedikit untuk kita melakukan serangan balas.
“Namun, daripada kehilangan mata, keputusan ini amat bermakna ketika tiga perlawanan kita bermain di tempat lawan,” katanya. – Info X