SANDAKAN: Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta bahagian-bahagian Umno di negeri ini supaya mengaktifkan peranan media untuk mempertahankan parti dan pemimpin dari serangan tentera siber atau ‘Cybertroopers’ parti lawan.
Katanya, peranan berkenaan perlu diambil perhatian serius oleh Biro Penerangan di setiap bahagian di mana Umno Sabah telah pun membentuk satu biro baharu iaitu komunikasi dan strategik yang perlu diwujudkan di semua bahagian.
“Kita perlu aktif dalam pelbagai flatfrom media terutamanya Media Sosial (Facebook, Instagram, TikTok) dan portal dalam talian termasuk media cetak bagi mempertahankan pemimpin dan parti apabila diserang oleh parti lawan terutamanya di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat pertama ahli jawatankuasa Umno bahagian Kinabatangan dan majlis angkat sumpah di Sabah Hotel, di sini, semalam.
Menurut Bung, Umno Sabah menyedari parti lawan telah memanafaatkan kemudahan ini untuk menyerang parti itu termasuklah penguasaan mereka terhadap beberapa portal dalam talian dan difahamkan mereka turut menyediakan dana untuk mereka melaksanakan tugas menyerang Umno.
“Bukan sahaja portal dalam talian di media sosial, mereka terus menyerang malah turut melibatkan pegawai-pegawai tertinggi pemimpin tertentu seperti Setiausaha politik dan Pegawai Khas untuk membuat pelbagai provokasi dan fitnah di media sosial yang bukan pun tugas hakiki mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan mahu setiap daerah mengundi (PDM) Umno diwujudkan kumpulan tentera siber atau ‘cyebertroopers’ yang aktif dan peranan ini perlu dipikul oleh Biro Penerangan, Pemuda dan Puteri Umno bahagian dan cawangan sebagai tenaga pengerak utamanya.
Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, perkara itu penting disebabkan apabila parti berkenaan membuat kajian dalam PRU dan PRN yang lepas, jelas parti yang tidak menelaah, dan tidak menggunakan kekuatan melalui media sosial akan dikalahkan.
“Realitinya, gambaran politik pada ketika ini telah berubah daripada landskap politik biasa, di mana setiap parti perlu merungkai dan perlu mencari pendekatan baharu untuk memastkkan parti itu akan terus sentiasa relevan dalam berhadapan dengan pilihan raya,” katanya. – Info X