KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad kendaliannya mampu mengulangi pencapaian menewaskan Kelantan United FC dalam saingan Piala FA di Stadium Likas, malam tadi, jika sikap positif ditunjukkan pemain berterusan.
Beliau juga mahu momentum kemenangan pertama selepas tewas dua perlawanan dan seri sekali dalam saingan Liga Super sebelum ini dapat dikekalkan.
“Sudah tentu kita ingin mengekalkan momentum kita untuk mencapai kemenangan tetapi setiap perlawanan yang kita lalui bukan satu perlawanan yang kita boleh ambil mudah walaupun bermain di tempat sendiri.
“Kalau kita mempunyai sikap positif dan seperti mana kita tunjukkan hari ini (malam tadi), saya percaya kita mampu mengulangi pencapaian seperti mana yang kita lakukan malam ini (malam tadi),” katanya pada sidang media selepas perlawanan Pusingan 16, Piala FA di Stadium Likas, malam tadi.
Dalam aksi malam tadi, Sabah menewaskan Kelantan United 2 – 0 hasil jaringan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-58, sekali gus melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA.
Kim Swee menyifatkan kemenangan skuad Sang Badak malam tadi cukup penting baginya, lebih-lebih lagi tanpa dibolosi, selain mengekalkan kemenangan di tempat sendiri.
“Ini satu kemenangan yang amat penting selepas kita gagal mendapat kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini dan yang lebih penting kita dapat menjaringkan gol. Perkara paling positif yang saya dapat lihat ialah kita tidak dibolosi.
“Ini penting selepas kita dibolosi beberapa kali dalam perlawanan sebelum ini dan hari ini (malam tadi) pemain menunjukkan satu semangat juang yang cukup tinggi dan bermain sebagai satu pasukan.
“Itu lebih penting bagi saya terutama dengan mengekalkan corak kemenangan kita di tempat sendiri,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor, tetap memuji anak buahnya kerana dapat memastikan pasukan tidak dibelasah walaupun tidak cukup pemain.
Katanya, anak buahnya juga terpaksa bermain dalam keadaan yang penat kerana tidak cukup rehat berikutan lima perlawanan dihadapi pasukannya sehingga semalam semua di gelanggang lawan.
“Pemain saya penat, tidak cukup rehat kerana dalam lima ‘game’, semua kita ‘travel’. Pemain saya terlampau penat, selain ada yang cedera.
“Dalam bola sepak, perkara ini antara yang kita kena tempuh dan saya hargai pemain saya, walaupum kami bermain sembilan orang, kami dapat mengekang Sabah dengan hanya 2 – 0, kami tidak dibelasah,” katanya. – Info X